Wednesday, 23 March 2016

UMRAH - PERJALANAN ROHANI INSAN KERDIL (3)


 RAUDHAH - TAMAN SYURGA

Antara yang aku nantikan ketika tiba di Masjid Nabawi adalah Raudhah.

Sejujurnya aku tidak dapat gambaran bagaimana keadaaan di raudhah melainkan apa yang diceritakan kawan-kawan yang lebih dahulu menjejak kaki ke sini dan sedikit dari nota kursus dan gambaran dari internet.

Ada juga sahabat yang memberi beberapa tips untuk mudah masuk ke Raudhah seperti solat di Tiang Aisyah, bawa ibu bapa dengan kerusi roda, masuk dengan berniqab serba hitam dan sebagainya. Namun aku lebih senang untuk memilih dengan melebihkan berdoa, moga-moga Allah s.w.t merezekikan aku untuk dapat bersolat di Raudah.


Menuju ke Raudhah yang hanya dibuka ketika selepas subuh, zuhur dan isya' bagi wanita.
Kali pertama aku ke Raudhah selepas solat Zuhur, aku hanya menuruti arahan pekerja di sana. Malaysia kebiasaannya akan diberi giliran khas ke sana, barangkali kerana orang Malaysia yang lebih sopan dan tidak gemar bertolak dan berasak-asak sangkaku. Aku dan adik beradik hanya bersabar mengikut peraturan.
Kami di arah beberapa kali berkumpul dan berhenti sebelum benar-benar sampai ke pintu Raudhah.

Di hadapan intu Raudhah. Aku mengisi masa dengan membaca Quran dan berselawat sementara menunggu giliran untuk masuk. Tenang memandang kawasan kubah hijau yang terdapatnya makam Rasulullah s.a.w.
"Antara rumahku dan mimbarku terdapat taman di antara taman surga."
(HR. Bukhari dan Muslim)


Setelah beberapa kali berhenti, akhirnya jemaah Malaysia dipanggil untuk masuk ke Raudhah. Aku masuk dengan berasak-asak. Aku yang bergandingan dengan 3 adik beradik yang lain akhirnya berpecah.
Aku ingat waktu itu, pesanan salah seorang makcik, bila saja kaki menjejak ke karpet berwarna hijau, bacalah bismillah dan langkahlah dengan kaki kanan.

Akhirnya dengan berhimpit-himpit, aku dan seorang kakakku Acho terjumpa sedikit ruang di antara tiang yang tak ku pasti namanya.
" Acho, solat dulu, atam jaga!"

"Ok!" kata acho.

Aku mendepakan tangan, bimbang kakakku tidak dapat solat dengan sempurna. Dalam keadaan yang sesak, aku lihat Angah dan Asu juga sedang solat di satu ruang lain di belakang.

Syukur Alhamdulillah..

Selesai Acho solat, aku mengambil giliran sepantasnya.
Di tengah kekalutan, aku mula mengangkat takbir. Debaran dan sesak di hati kian reda bila mula masuk di rakaat ke dua. Aku rasa ruang hadapanku kian lapang.Aku solat dengan tenang..

Syukur Ya Allah. Selesai aku memberi salam, kami keluar dengan penuh rasa gembira.
Terima kasih Allah, kami dapat solat walau dua rakaat di Taman SyurgaMu..

Kali Ke Dua Ke Raudhah

Keesokannya sekali lagi kami cuba ke Raudhah. Kali ini kami berniat untuk bawa mak yang tak berkesempatan ke sana semalam. Mak pernah masuk ke sini beberapa tahun dulu ketika mengerjakan haji. Mak kata tak mahu ditolak, nak berjalan kaki katanya.

"Mak nak pegi Raudhah harini. Bawak mak"

Aku dan kakakku bersetuju walau masing-masing masih terbayang kesukaran semalam.
Tak apalah. Kalau ada rezeki kita InsyaAllah. Masing-masing Tawakkal.

Kami mula beratur menunggu giliran seperti semalam. Aku berdoa, moga-moga dipermudahkan lagi untuk kami. Dalam hati rasa berdebar mengingatkan kesesakan semalam.

Bila saja kami dilepaskan ke karpet hijau, keadaan jadi sesak. Berhimpit-himpit.
Aku pegang kemas lengan mak. Aku risau.

Dalam kekalutan manusia menolak-nolak aku terlihat di bawahku selangkah akan ke karpet hijau.

"Mak, langkah kaki kanan."

Mak menurut kataku. Namun keadaaan tolak menolak dan berhimpit-himpit menyebabkan aku ditolak ke depan dan ke belakang, langsung tak nampak ruang untuk ke depan, apatah lagi untuk solat. Keadaaan sebegitu beberapa lama.

Di tengah kekalutan aku lihat dua kakakku Acho dan Angah telah maju ke depan, berhampiran sebelah kiri makam. Kulihat dari kejauhan kedua-dua kakakku telah memegang kemas tangan masing-masing bersama beberapa orang yang tak kukenali membuat satu bulatan kecil dan aku nampak jelas beberapa orang solat di dalamnya.

"Acho!" panggilku sambil melambai-lambai tangan.

"Acho!" panggilku lagi. Lebih kuat.

"Angah. Angah!" panggilku lagi pada seorang lagi kakakku.

Tiada jawapan. Mereka langsung tak nampak. Beberapa kali aku menjerit dan melambai tangan.
Tangan kananku masih memimpin kemas lengan mak.

Kulihat mak hanya berdiam diri memerhati manusia tanpa dapat berbuat apa-apa. Rasa putus asa..

Aku jadi sebak..
Sedih..manusia makin menghimpit sampai aku terkeluar sekali sekala ke karpet merah.
Kenapa susah hari ni Ya Allah. Mungkin itu gambaran sukarnya nak masuk ke syurga..kataku di dalam hati..

"Ya Allah.." Aku mula berbisik berdoa..

"Ya Allah, semalam Engkau telah pun merezkikan aku dapat solat dengan sempurna di sini. Aku dapat mencium harum tempat sujudku di sini semalam. Terima kasih Ya Allah..Aku dapat solat hajat memohon syafaat Rasulmu semalam.."

"Ya Allah, itu semalam Ya Allah. Tapi harini tak mengapa. Aku tak kisah Ya Allah andai Engkau tidak rezkikan aku bersolat di sini hari ini. Tapi ya Allah, aku bawa mak aku. Tolong bagi mak aku solat sini.
Ya Allah. Bagilah mak solat sini. Aku bawa dia ini Ya Allah. Tolonglah hambaMu..."

Aku sebak..

Aku terus memandang kakakku. Aku pesan pada mak, supaya menuju ke sana, dan jangan berasak. Biarkan saja Allah bantu kita ke sana.
Dengan tak semena-mena selepas itu, aku terus sampai pada kakakku.

Kakakku yang melihat aku dan mak sepantasnya terus bertanya aku di tengah kekalutan.

"Atam da solat?"

Aku geleng.

"Mak?"

Aku geleng lagi.

"Cepat masuk!" Lantas aku bawa mak masuk ke dalam bulatan. Mak solat.

Aku terus mencapai tangan dua individu yang berpangkat adik yang tak kukenali membantu mengemaskan bulatan.Di kiri kanan dan belakang, jemaah mula menghimpit untuk masuk. Adik yang di kiri dan kananku tegas menghalang. Ku lihat jelas mereka warga Malaysia yang boleh berbahasa Arab.

Selesai mak solat, kakakku lantas menyuruh aku masuk.

Aku sepantasnya masuk dan terus mengangkat takbir.

"Allahuakbar.."
Ku kumpulkan segala ketenangan untuk khusyuk di tengah kekalutan manusia.

Di hujung telinga aku mendengar jeritan adik tadi dan kakakku.

" Dah habis semua solat kak?"

" Ni adik akak tengah solat. Lepas ni kita lepas."

Aku terus solat dengan penuh debar dan rasa takut yang belum hilang.

Hingga aku mulai sujud..
Sakinah dari Allah mulai datang..

Aku menikmati lagi harum wangi bumi raudhah..Syukur Ya Allah..
Terima kasih..

Aku rasa air mata mula mengalir.
Kala sujud, hati mula rasa sayu, mengenang tempat aku meletakkan dahiku inilah tempat yang sama Rasulullah s.a.w berkumpul bersama para sahabat. Tempatnya  Rasulullah  menyampaikan khutbah dan didengar khusyuk oleh sahabat-sahabat yang tinggi imannya hinggakan burung yang hinggap di atas kepala pun tidak terbang dek kerana tidak bergeraknya mereka mengamati segala ilmu yang disampaikan. Di sinilah juga tempatnya kisah tamar yang menangis merindui Rasulullah.

Di sinilah tempatnya..
Di sinilah sujudku ini..

"Ya Allah, Ya Rasulullah. Tiada lain yang aku mohon.
Kurniakanlah syafaatmu buat aku di sana kelak. Bantu aku Ya Rasululah...Bantu Aku nanti..."

Aku beri salam.

Usai solatku.

Genggaman masing-masing terus dileraikan.
Syukur..

Aku seraya bangun dan memeluk adik di kiri dan kananku. Kami serentak memeluk antara satu sama lain. Menangis..

"Terima kasih dik."

"Ye kak.." balasnya mengalirkan air mata.

"Kita jumpa lagi nanti di taman syurga yer.." kataku sambil menangis terharu. Hanya itu kata-kata yang terlintas untuk disebut. Itulah yang lahir dari hatiku kala itu.
Aku ingin berjumpa lagi mereka ini di syurga. Benar. Ikatan tanagan kami terlerai tapi aku terasa manisnya ikatan ukhwah.

Kemudian kulihat kakakku memeluk erat seorang wanita berusia sekitar 50an yang kukira warga Arab.
" May Allah give you jannah..sister." Katanya menangis tersesak-esak.

Itu yang ku dengar..

Selepas keluar dari Raudhah, kakakku bercerita, wanita tersebut merayu-rayu untuk masuk ke bulatan tapi tak dibenarkan kakakku. Namun selepas merayu-rayu, kakakku memberi peluang untuk masuk dan bersolat. Usai solat kakakku mengarahkan dia untuk keluar.

"Ok. Now you may go." katanya.

"No, sister, i wont go. You help me, I help you!" katanya tegas ketika itu lantas memegang erat tangan kakakku membantu  mengemaskan lagi ikatan hingga selesai giliran kami semua bersolat.
Subhanallah..
Sebab itu agaknya dia begitu bersungguh dia memeluk dan mengucap terima kasih pada kami.

Demikian manisnya ukhwah yang tercipta di Raudhah.
Kami melangkah keluar dengan penuh rasa gembira dan penuh kesyukuran.

Terima kasih Ya Allah..
Kemanisan ini akan kami simpan hingga ke akhir hayat kami. Jadikan penyaksian kami di hadapan Makammu ini Ya Rasulullah akan membantu kami di sana kelak.

Amin Ya Rabbal A'lamin...




Tiada sekeping gambar pun yang dapat kurakam di atas tali air syurga ini melainkan yang ini. Wajah syukur bersama sisa tangis kesyukuran diberi rezki oleh Allah Yang Maha Baik..
Terima kasih wahai Allah.





Sunday, 20 March 2016

UMRAH - PERJALANAN ROHANI INSAN KERDIL (1)

Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh..

Saya mulakan penulisan ini dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha penyayang..
Tiadalah daya upaya diri ini melainkan dengan izin Allah.


Demikianlah hamba yang kerdil ini.
Catitan ini ditulis pada hari ke 6 pulang dari kota suci. Menulis dalam keadaaan yang masih sedikit selsema dan batuk.
Biarkan. Hanya sedikit kafarah Allah dari dosa lalu.


Sesungguhnya catitan ini hanyalah sebuah pengalaman berharga dari invidu yang lemah, kurang ilmu di dadanya, tapi begitu ingin berkongsi rasa dan perasaan gembira kerana dipilih olehNya buat pertama kali ke rumahnya.


~Rosya, 25/02/2016 - 07/03/2016

KELENGKAPAN ILMU


Selepas selesai urusan pendaftaran ke Tanah Suci, aku dan keluarga mula menghadiri kelas atau kursus umrah yang diadakan di pejabat cawangan Andalusia di Bentong seawal  Oktober 2015 lagi.

Penerangan berkenaan Tanah suci oleh salah seorang Mutawwif yang dilantik pihak Andalusia.
Seingat aku minimum tiga kali aku ke sana untuk beroleh sedikit ilmu ke sana nanti. Mak dan abah kelihatan lebih 'cool' kerana masih kekal di ingatan sedikit pengalaman mengerjakan haji pada tahun 2005. Beza dengan aku dan adik beradik yang pertama kali ke sana.
Lafaz talbiah setiapkali kelas yang selalu meruntun hati. Rasa rindu pada baitullah sekalipun tidak pernah menjejak kaki ke rumah Allah ini.
Membuat catitan serba sedikit ketika kelas. Moga sedikit ilmu di dada memberiku Umrah yang maqbul dan mabrur.
 " Katakanlah : Samakah orang-orang yang berilmu dengan yang tidak berilmu?"
 (Az-Zumar : 9)

"..katakanlah : Apakah sama orang-orang yang buta dan orang-orang yang melihat? Atau samakah kegelapan dengan cahaya?"
(Ar-Ra'du : 16)
 
Selain kelas, aku juga kerap bertanya-tanya pengalaman kawan-kawan yang kerap dan pernah ke sana. Juga melayari serba sedikit blog-blog yang berkongsi kisah, tips dan pengalaman umrah masing-masing.

Aku juga membaca buku penulisan Prof Muhd Kamil Ibrahim, Catatan Dari Bumi Madinah dan Travelog Haji. Di kala kebanyakan blog memberi tips-tips lahiriah dan fizikal, buku-buku Prof Kamil menghidangkan aku persediaan hati dan jiwa yang mahu tunduk dan berserah diri kepadanya. Buku ini membuat hati rasa sebak, air mata mengalir, rasa hiba, meronta dan rindu untuk datang ke rumahNya.

Aku kira ia sangat banyak membantu aku dalam pengembaraan rohani yang penuh bermakna ini. Moga sahabat yang nak ke sana akan dapat membaca dua buku ini. Sangat bermanfaat.

Terima kasih pada sahabat serumah yang menghadiahkan buku Travelog haji. Moga diberikan pahala yang banyak untuk kamu. Terharu..


TAKUT DAN HARAP

Sejujurnya aku taknak ke sana kosong.

Dah bertahun aku mengimpikan peluang ini hadir. Kali terakhir doa aku pada ramadhan lalu. jemputlah aku menjadi tetamuMu Ya Allah..

Aku sangat teringin..

Alhamdulillah Allah membuka hati mak dan abah untuk menjejak kaki ke sana dalam keadaan keduanya tidaklah sesihat dahulu. Syukur, Allah berikan peluang ini. Namun hanya Allah yang tahu betapa aku menyimpan rasa TAKUT dan HARAP , rasa TAKUT kalau-kalau hajat yang beberapa bulan dirancang ini Allah tunda. Dan rasa HARAP moga-moga Allah sudi memilih aku sebagai tetamunya.

Ya, tetamu.

Seorang sahabat berpesan,

" Rosya, ko doalah dari sekarang. Bukan apa, pergi ke sana tu rezeki. Ada orang tak semena-mena dapat peluang ke sana sekelip mata, dan ada jugak orang yang last minute tak dapat pegi. Allah yang pilih.."

Selain doa, buku dan blog, aku juga mula memulakan persediaan rohani yang aku kira amat penting selain fizikal. Aku mula melakukan solat taubat setiap hari beberapa bulan sebelum ke sana. Istiqamah semampunya.

Catitan ini bukan nak menunjukkan rasa baik aku, tapi sebaliknya rasa takut aku andai kehadiran aku Allah tak terima kerana dosa. Sedang aku ke sana memang mengharap pengampunan dosa. Aku tak mahu aku tiba di sana tanpa ada rasa dan ma'na yang hadir ke dalam diri. Sedang inilah peluang berharga bagi individu sederhana seperti aku.

"Ya Allah, jemputlah aku Ya Allah. Aku nak jadi tetamu Engkau..Terimalah aku.."

 Aku juga mohon dikurniakan kesihatan yang baik sepanjang di sana nanti, terutama buat abah yang dah menjangkau usia 75 tahun, menghidap penyakit jantung, kencing manis, darah tinggi dan selalu kepenatan. Kala begini dengan siapakah lagi kita nak mohon untuk diberi kesihatan fizikal dan mental. Aku juga menutup kerisauan tentang abah dengan doa-doa. Bimbang kalau disana nanti tak sepanjang masa dapat tengokkan abah memandangkan yang datang hanya kami empat orang adik beradik perempuan dan mak.

Moga Allah memudahkan segalanya buat kami.

"Ya Allah jemputlah kami menjadi tetamuMu. Tetamu ISTIMEWAMu..Amin.."

Sesungguhnya hanyalah Dia Yang Maha Kuat, Maha Menjaga, Maha Melindungi, Maha Pengasih dan Maha Penyayang.

PERSEDIAAN ROHANI, DOA DAN HAJAT

Sebelum berangkat, aku cuba selesaikan segala yang tertangguh, hutang-hutang dibayar dulu sebelum gaji. Aku juga memanfaatkan media sosial, Fb dan whatsap, minta maaf pada semua kenalan.
Abaikan isu riya'. Aku tak peduli kerana sesungguhnya niat kita hanya diri kita dan Allah yang tahu kan? Biarkanlah orang lain dengan isu mereka.Yang penting kita selesaikan segalanya sebelum berangkat.
Begitula juga pesan Ustaz yang mengendalikan kursus umrah masa itu.

Dengan rendah hati aku mohon kemaafan, dan dengan rendah hati juga aku memaafkan. Biarlah aku ke sana dengan hati yang tenang dan lapang.

Teringat hadis Rasulullah S.A.W:

" Barangsiapa memaafkan kesalahan orang lain, maka Allah akan memaafkan kesalahannya pada hari kiamat. " (H.R Ahmad)

"... dan hendaklah mereka memaafkandan berlapang dada. Apakah kamu tidak suka bahwa Allah mengampunimu? Dan Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang. " (An-Nur : 22)

Moga Allah juga telah memaafkan diriku yang berdosa ini. Ya Allah Ya Ghaffar, Ya Allah Ya Tawwab..Maafkanlah aku...


Sepanjang masa-masa akhir sebelum berangkat, aku juga memohon doa dari saudara yang berkunjung, kawan sepejabat, dan semua kenalan. Demi Allah jujur aku mengharapkan doa-doa kalian selain doaku sendiri.

Dalam banyak pesanan, rasa tersentuh dengan pesan dari seorang bos yang sangat dikagumi. Yang ada kharisma dan tinggi sifat kepimpinan tapi baik hati dan penuh sifat rendah diri.

"Ros lupakan dulu semua urusan di sini. tumpukan amal ibadat di sana.Tak apa."

"Jangan risau tentang ayah, bila di sana Allah will take care of Him."

"Doa.."

"Fikirkan Yang baik. Serah pada Allah."

"Jangan bunuh binatang walaupun kecil. Sebenarnya ia bukan hanya dalam ihram tapi setaip masa kita perlu berakhlak begitu."

"Kutip sampah kalau nampak di depan mata kita."

"Jaga diri dan jangan sendirian ke masjid terutama malam hari walaupun kita rasa selamat."

"Go travel around the world, Ros takkan jumpa tempat paling best seperti di sana. Thats the best place. "

InsyaAllah..

Lega dan terharu.

Namun ada juga situasi buat diri ini rasa nak tersenyum bila ada yang memeluk dan mendoakan bila pulang nanti aku akan mendapat jodoh. Aku senyum mengaminkan. Namun jauh di sudut hati, benar jodoh itu salah satu hajatku yang ditulis di dalam buku catitankku. namun sesungguhnya dalam hati ini, ada hajat dan keinginan yang lebih besar dalam diri.

Mahu Allah kurniakan keampunan..
Mahu Allah beri limpahan rahmat..
Mahu Allah redha hingga ke hujung nafas..

 Ramai yang bersungguh mendoakan, yang memeluk melahirkan rasa syukur, yang menangis  tumpang gembira, malah menghulurkan sumbangan peribadi masing-masing..

Ya Allah yang Maha Baik..Baiknya Engkau melayani aku..

Usaha kecil mengumpulkan segala doa dan hajat kawan-kawan juga yang berkirim salam pada Kekasih Allah Nabi Muhammad S.A.W.

Ini juga antara perkara menarik nak dikongsi, aku 'compile'  kan segala hajat kawan-kawan yang berkirim doa. Yang mana dihantar dari watsapp dan fb ataupun secara lisan, aku tulis semula dalam buku catatan yang sama aku tuliskan doa-doa aku. Entah dari mana datang rasa ni, memang sungguh dari hati ni nak doakan kat sana nanti.

Mungkin ni cara aku nak lahirkan rasa syukur tak terhingga aku atas rezeki dari Allah yang telah memilih aku ke sana sedang aku tau lebih ramai di kalangan hamba-hambaNya yang mungkin merintih setiap waktu, berdoa untuk dipanggil ke sana. Malahan aku terfikir adakah rezeki ini atas doa kawan-kawan atau kenalan yang pernah mendoakan aku dapat ke sana satu ketika dulu. Siapa tahu..
Dan dengan rasa itu, aku juga menanam niat untuk mendoakan pula kawan-kawan yang berhajat ke sana agar Allah menjemput mereka pula ke sana kelak. Amin Ya Allah..

Doa-doa kawan-kawan ini ku tulis setiap satunya walaupun panjang dan dengan rasa senang hati. Azam aku, moga ada kesempatan di sana nanti walaupun sekali, aku mendoakan sahabat-sahabat. Moga jadi satu ikhtiar dan moga jadi asbab doa dan hajat sahabat-sahabat ku ini maqbul Ya Allah..

Sambil menulis, lahir rasa insaf dalam diri. Sesungguhnya sahabat-sahabatku ini lebih hebat dugaan mereka. Malah ada yang tak pernah aku ketahui ujian berat mereka, kerana disembunyikan dengan wajah gembira mereka sepanjang masa.

Timbul pula semangat bila aku teringat satu hadis :

" Siapa yang menunaikan hajat saudaranya maka Allah S.W.T akan menunaikan hajatnya."
(HR Muslim)

Moga-moga para malaikat sudi mengaminkan doa-doa ini untukku juga. Amin Ya Allah..
Berikan aku rezeki dan kesempatan untuk mendoakan mereka Ya Allah..
Ini saja hadiah dan kebaika kecil yang mampu aku lakukan untuk mereka..
Permudahkan lah Ya Allah..

"Rabbi Yasir Wala Tu assir Watammin Bil Khair.."

Demikian sedikit pengalaman awal sebelum aku berangkat..
Catitan seterusnya setibanya aku di Madinah Al-Munawwarah akan sambung nanti Insya Allah...







UMRAH - PERJALANAN ROHANI INSAN KERDIL (2)

MENJADI TETAMU ALLAH

Syukur Alhamdulillah pada pagi Khamis 25/02/2015, kami memulakan musafir kami bermula dengan menaiki bas rombongan dari kampung di Raub pahang menuju ke KLIA.

Bermulalah sebuah pemusafiran manis kami berenam.


Alhamdulillah..

Terima kasih Allah..


Seketika saja bersedih meninggalkan keluarga, wajah kembali seri. 
Rasa happy. 
Terima kasih abah, kerana sudi menjadi mahram kami. 
Kalau bukan abah, siapakah lagi. :)
Mak dan abah di kaunter imigresen. Bila tiba giliran kami empat beradik yang kesemua nama berpangkal Ros, pegawai tersebut senyum sambil mengagak, "Tadi ayah ye?". 
Saya senyum menjawab "A ah.". 
Bergandingan sepanjang jalan. Takut terpisah agaknya.


Selesai urusan imigresen, kami memulakan perjalanan yang mengambil masa kira-kira lapan jam menaiki MAS chartered. Alhamdulillah segalanya dipermudahkan Allah bila perjalanan ini adalah penerbangan khas umrah  bagi jemaah Andalusia dan Rayhar yang akan terus mendarat di Madinah.

Sepanjang perjalanan, kru penerbangan akan menggelar kami sebagai " Tetamu Allah".

Senang rasa hati dipanggil begitu.


'Tagging' sebahagian perkara penting dalam Nota Umrah. Moga mudah urusanku ketika di sana nanti.
 Entah kenapa sepanjang perjalanan aku begitu sukar melelap mata. Di kala jemaah lain nyenyak tidur, aku cuba menutup mata, tapi otak masih ligat aktif. Sambil mendengar Zikir Terapi Hafiz Hamidon, aku mengambil keputusan memasang lampu kecil. Aku selak lagi Buku Prof Kamil. Nota dari Madinah.

Ya Allah, sebentar saja nanti aku akan tiba di kota yang ditulis ini.
Badan terasa penat, tapi hati bersemangat menelaah sedikit Nota Umrah dibekal Andalusia. Air mata bergenang tatkala sekali imbas menelusuri doa-doa ketika tawaf, saie dan tawaf wida'.

Ya Allah, aku datang padaMu Ya Allah..



PERTAMA KALI MEMIJAK MADINAH YANG INDAH 


Kami menjejakkan kaki di bumi Madinah Al Munawwarah pada hari Khamis malam Jumaat sekitar jam 6.00 petang waktu tempatan.


Urusan di lapangan terbang di Madinah juga berjalan lancar.  Untuk urusan visa, kami perlu beratur di hadapan dengan mahram di belakang. Tiba di kaunter pegawai menjenguk pada barisan, mengagak abah yang sedang berdiri adalah mahram kami.


"Yes." saya senyum.


Selesai di lapangan terbang, kami terus menaiki bas terus ke hotel.

Kelihatan mutawwif kami pun dah bersedia menanti.
Dalam bas, walau mata dalam kelayuan, dari jauh sayup kelihatan payung-payung dan menara Masjid Nabawi.

Dalam hati berkata, Insya Allah Ya Rasululullah pagi nanti aku ke sana..



SUBUH JUMAAT DI MASJID NABAWI


Subuh esoknya buat pertama kali aku menjejakkan kakiku ke masjid Nabawi.

Seawal jam 3.00 pagi kami masing-masing sudah bersemangat bersiap ke masjid.

Bagaimanakah agaknya keadaan Masjid Nabawi yang tak pernah dilihat di depan mata sebelum ini. Berkobar hati mengingat kelebihan Masjid ini. Masjid yang kita bersembahyang di dalamnya akan mendapat seribu kali (lebih afdhal dari) sembahyang di tempat lain, Di dalamnya ada makam Nabi s.a.w. sahabat-sahabat dan juga Raudhah, sebuah taman dari taman-taman syurga. Subhanallah..


Aku dan keluarga mula mengatur langkah menuju Masjdi Nabawi. Hanya abah kami tolak menggunakan kerusi roda. Bimbang dia kepenatan. Dari Malaysia aku kerap bimbangkan abah memandangkan yang pergi hanya kami berempat adik beradik perempuan. Moga-moga Allah bantu permudahkan urusan abah.


Sambil berjalan sempat aku sebut  pada mak di sebelah.


"Time kasih mak, dapat jugak sampai sini. " sambil mata memandang indahnya cahaya terang masjid.


" Sebabkan awak la ni. Sebab awak kita sampai sini." Kata mak penuh makna. Teringat dulu aku tak putus asa asyik merengek nak ajak mak abah ke sini. 


Ayat yang kerap aku ulang,

 "Mak, jom la mak. Bila lagi kita nak pegi sana sama-sama. Selagi mak dengan abah sihat, boleh lagi elok berjalan ni lah."

Syukur harini Allah tunaikan impian nak ke sini dengan mak abah. 

Time kasih Allah..

Dari jauh hati rasa syahdu bila mata mula melihat pandangan menara masjid dan payung-payung yang telah sedia terbuka.


Allahumma Salli a'la Sayyidina Muhammad..

Allahumma Salli a'la Sayyidina Muhammad..
Allahumma Salli a'la Sayyidina Muhammad.. 

Aku selawat sambil mata lurus memandang masjid. 


Ya Rasulullah..kami datang menziarahiMu...




JATUH HATI DENGAN MASJID NABAWI 


Ketenangan Masjid Nabawi di sepertiga malam.

Pertama kali menjejak langkah di perkarangan Masjid Nabawi, hati di tiup rasa tenang dan sayu.

Aku meminta kakak, adik, mak dan abah melangkah dengan kaki kanan dan berhenti di pintu masuk masjid bernombor 25 itu seketika.

" Jap, Atam nak baca doa."


 Lantas kuselak helaian buku umrah yang ditanda. Mak, abah, kakak dan adik seraya mengangkat menadah tangan.


" Dengan nama Allah dan di atas agama Rasulullah. Ya Tuhanku, masukkanlah aku ke dalam pintu kebenaran dan keluarkanlah aku dari pintu kebenaran."


"Ya Tuhanku berikanlah aku dari sisimu hajat keterangan serta kekuasaaan yang menolongku. Ya Allah Ya Tuhanku selawat dan rahmat ke atas junjungan Nabi Muhammad s. a. w dan keluarganya. Ampunilah dosa-dosaku dan bukakanlah pintu- pintu rahmatMu padaku, dan masukkanlah daku ke dalamnya wahai Tuhan yang Maha Mengasihani."


Sebak..


Inilah masjid yang dibina Rasulullah S.A.W dan para sahabat dan pengikut setia baginda ketika awal penghijrahan baginda ke Kota Madinah. Masjid yang sama aku bersolat subuh hari ini.


Syukur Ya Allah.

Terima kasih kerana Engkau merezekikan kami ke sini.

Kulihat mak dan adik beradik juga sama sepertiku, menyeka air mata.

Tangis syukur.
Moga Allah menerima amal kami selama permusafiran ini..Amin..


Tenang memandang langit. Bulan waktu itu yang masih lagi penuh. 
Pertama kali solat di sini



Subuh hari yang sunyi tika masjid belum dipenuhi jemaah. Nyaman, sunyi, sepi, sejuk, tenang..


Nabi Muhammad S.A.W Sebagai Pembawa Kebenaran


Kala sepertiga malam menunggu azan subuh, aku membuka Al-quran pertama kali di sini. 
Hanya mengikut helaian yang bertanda yang akhir aku baca di Malaysia, mata berkaca pada ayat mengenai Rasulullah s.a.w.


"Sesungguhnya kami mengutus kamu dengan membawa kebenaran sebagai pembawa berita gembira dan sebagai pemberi peringatan. Dan tidak ada suatu umat pun melainkan telah ada padanya seoarang pemberi peringatan."
( Faathir : 25) 

Air mata mengalir. Rasa rindu menerpa..
Allahummasalli 'ala sayyidina Muhammad. 
Aku di bumi kesayanganmu Ya Rasulullah..Aku berada di masjidmu..

Kedamaian Masjid Nabawi


  
Pintu masjid Uthman Bin Affan yang kami lalui setiap hari.


Rekabentuk masjid yang dibina menambat hati  yang memandang. Tiap kali kaki melangkah rasa ingin ku rakam semuanya menjadi memori indah.
Lampu-lampu indah menaungi..Air zam-zam disusun rapi.
Aku gembira di sini, gembira dengan kedamaian masjidnya, kemesraan penduduknya. Mungkin kerana kota ini dibangun sendiri oleh Nabi, ia jadi begitu dekat di hati.

Rutin setiap hari menolak abah hingga ke pintu masjid di bahagian lelaki.
Air zam-zam. Berdoalah ketika meminumnya dengan doa seperti berikut,
" Ya Allah, aku memohon kepadaMu ilmu yang berguna, rezeki yang luas, dan disembuhkan segala penyakit dengan rahmatmu, wahai Tuhan Yang Maha pemurah lagi Maha Penyayang."



Kami hanya minum sambil berdiri kerana rasulullah juga berbuat begitu hanya ketika minum air zam-zam. Keadaan yang sesak ketika usai solat juga adakalanya menjadi ruang pada yang ingin merebut pahala dengan menghulur air zam-zam kepada jemaah yang lalu. Juga yang bersedekah di subuh hari menderma kurma dan menghulur gula-gula kala mata kelayuan kala menunggu waktu Isya'.

Kami dikelilingi UmatMu yang baik-baik di sini wahai Allah..


Comel tak saya??
Suasana biasa pengajian Al-Quran di Masjid Nabawi selepas solat. Kebanyakannya sedang berusaha  menghafaz Quran. Comel sangat budak-budak ni.
Suasana biasa kanak-kanak berlari dalam masjid. Mereka datang ke sini barangkali lengkap sekeluarga. Moga jadi umat masa depan yang soleh. Sedar tak sedar sekian lama di sini suara anak-anak menangis tika solat tidak lagi mengganggu ibadat.

Abah Yang Selalu Dipermudahkan Allah

Satu perkara yang menarik ketika di masjid Nabawi tentang abah adalah abah sentiasa dimurahkan rezeki oleh Allah dalam bentuk bantuan dari ramai orang. Kala pagi kami akan tolak abah hingga ke kaki masjid, akan ada saja hamba Allah yang membantu untuk terus menolak abah ke dalam masjid. Kadangkala ada yang menghantar kembali abah sampai ke pagar masjid. Dan ada juga yang menawarkan diri menolak abah hingga ke dalam hotel. Subhanallah..


Kadangkala tengah kami menolak abah, ada hambaNya yang meletakkan roti, dan buah strawberi di atas riba abah. Masya Allah..


Teringat pesanan seseorang sebelum pergi. Doa dan bersangka baik pada Allah. Husnuzhon, hanya Dia yang akan mampu bantu kita..


Benarlah kata Allah dalam satu hadis qudsi,


"Aku adalah seperti sangkaan hamba-hambaKu kepadaKu." 



Antara hamba Allah yang menawar khidmat untuk membantu menolak abah. Moga kebaikan yang dihulur mendapat redha Allah s.w.t.


Benarlah di sana akan ada saja hambaNya yang mencari-cari ruang berbuat pahala. Bukankah itulah juga contoh akhlak yang diajar Nabi Muhammad s.a.w..Berbuat baik kepada manusia lain sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadaMu.

Kemuncak rezeki abah di sana adalah, pada hari Jumaat kami di sana, ketika seorang hamba Allah yang menawar diri untuk menolak abah, tiba-tiba pagar di bahagian solat Raudhah dibuka.
Abah terus ditolak hingga ke saf pertama.

Kata abah, " Abah dapat solat Jumaat kat saf depan sekali. Abah nampak imamnya. Bukan senang nak dapat. Rezeki sungguh. Menangis Abah. " 

Subhanallah..

Siapalah yang dapat menjaga orang-orang yang kita sayang dengan lebih baik melainkan Allah. Itu juga sering kubisik pada mak yang seringkali bimbangkan abah.
Wajah ceria abah yang sempat kurakam ketika menceritakan pengalamannya di raudhah

Waktu Dhuha Yang Mendamaikan


Oleh kerana ziarah kami di Madinah sekitar 5 hari, aku berpeluang sesekali mencuri masa bersendirian di masjid Nabawi.
Tak dapat digambar tenangnya hati sendirian di masjid ini kala kebanyakan jemaah telah pulang selepas subuh hari.

Aku juga pulang ke hotel pagi hari. Namun usai sarapan, aku mintak izin dengan mak untuk kembali ke masjid. Mak dengan rela hati membenarkan.

Bismillahi Tawakkaltu Alallah..

Aku melangkah dengan penuh tenang.. 
Terasa yakin Allah akan jaga..

Bumbung masjid dengan kubah cantiknya yang masih belum dibuka. Pernah ketika aku melintasi bumbung ini, ia sedang dibuka dan kulihat dua pasang merpati putih melintasi langit biru. Terasa bagai pintu langit sedang dibuka.
Suasana masjid kala dhuha. Bunyi kicauan burung menjadi muzik yang amat mendamaikan..Subhanallah.
rindu..

Waktu sendirian di sini dinikmati dengan solat sunat dan membaca Quran. Silalah cuba sendiri. Andai dikatakan sepi itu indah. Benarlah ini keindahan..


 Kelihatan pekerja sedang menyusun kembali Al-Quran

Kala aku bersendirian di sini, aku sempat ditegur oleh seorang pekerja di masjid Nabawi warga Indonesia.

"Udah ziarah belum embak?" tegurnya.

Aku yang terpinga disapa seraya menjawab, " Belum."
Warga Indonesia rupanya. Tak perasan dek terlindung wajahnya di balik niqab.

"Bukanya jam berapa ya?", tanyaku. Aku tau yang dimaksudkan ziarah itu adalah menziarahi raudhah yang terdapatnya maqam Rasulullah s.a.w.

"Kalau pagi, waktu ini udah dibuka.."

"Oo.." Kataku pendek. Dalam hati belum terfikir untuk masuk. Sekadar mahu sendirian di sini.

"Sudah lama kerja di sini? Bertuah ya kamu..dapat bekerja di Masjid Nabawi. Dekat dengan Rasulullah." Kataku.

" Alhamdulillah. Benar ya kak, barangkali Rasulullah sedang melihat ya? Kita kerjaan di sini." katanya senyum sambil menyusun.

Subhanallah..aku angguk. Benar dik. Baginda hidup di sisi tuhan dan sedang melihat kita. Sedang para syuhada itu tidak mati dan hidup dengan rezeki di sisi Tuhan, inikan pula Rasulullah kekasih Allah.

Aku termenung sendirian. Tiba-tiba aku melihat sekumpulan manusia berlari-lari ke pintu depan. Kulihat wanita berniqab dan berjubah hitam memegang sepanduk bertulis "Malaysia".
Oh. tentu giliran Malaysia untuk masuk ke raudhah.

Aku bangun mengikuti.

Kami diarah menunggu dan duduk di pintu luar.Namun selang beberapa lama menunggu, aku mengambil keputusan untuk kembali ke ruang masjid tadi bila melihat makin ramai yang membanjiri kawasan menunggu.

Tak mengapalah..
Kali ini biar rezkiku aku beri untuk orang lain. Aku pun kembali ke ruang tempat aku sendirian tadi, sambil solat dan memohon pada Allah supaya Allah memberiku pahala yang sama sebagaimana aku mendapat peluang masuk ke Raudhah. Aku memilih untuk tidak masuk kerana berniat untuk memberi peluang kepada yang hadir dan tidak menambahkan kesesakan Raudhah. Aku juga barangkali telah berpuas hati kerana telah diberi rezeki sebelumnya untuk masuk dan bersolat di sana sebanyak dua kali. Peristiwa yang akan aku ingati selamanya..

Sesungguhnya aku mengambil iktibar tentang pengalamanku di Raudah. Kisah ini akan kusambung pada entri akan datang. Juga ibrah dari lawatan ku di beberapa tempat bersejarah di sini..

InsyaAllah..





Hanyalah namaMu, kupuji ku sanjung..