Friday, 22 July 2016

UMRAH - PERJALANAN ROHANI INSAN KERDIL 7


Menyambung kembali kisah Perjalanan Rohani Insan Kerdil ini..

Tiap kali menulis, kerinduan pada Tanah Haram terus memenuhi ruang hati..meruntun dan memanggil-manggil..

Rindunya...
Ditambah lagi dengan mendengar kisah sahabat yang baru pulang dari sana baru-baru ini..
Terdengar juga di sana-sini persiapan untuk haji tahun ini menambah ketukan pintu hati ini.
Tiada tempat yang setenang dan seindahnya..

Ya Allah jemputlah kami lagi..

Kami rindu..


"Wahai Kaabah, betapa sucinya engkau! Betapa wanginya baumu, dan betapa tingginya kehormatanmu, (tetapi) kehormatan seorang mukmin adalah LEBIH TINGGI daripada kehormatanmu.Sesungguhnya Allah menjadikanmu dengan penuh kehormatan (begitu juga) dengan harta seorang mukmin, darahnya dan kehormatannya adalah amat tinggi dan patut dimuliakan. (Oleh kerana itu) maka haramlah seorang itu bersangka buruk kepada muslim yang lain."
[HR. Tabrani]."

Rutin Indah Setiap Hari


Kami berada di tanah suci kira-kira satu minggu selepas tinggal di Madinah selama kira-kira enam hari.Sepanjang berada di tanah suci, kami berenam beranak akan bersolat di tingkat satu berhadapan Pancur emas.
Keadaan mak dan abah yang berkerusi roda di sana membuatkan tempat ini menjadi tempat yang paling sesuai untuk kami solat. Keadaan landai, berdekatan dengan pintu keluar masuk memudahkan kami untuk menolak mak dan abah. Di hadapan saf wanita adalah saf lelaki terus berhadapan. Mudah untuk lihat keadaan abah di depan. Malah kami suka bersolat di sini kerana tiada halangan untuk memandang terus ke kaabah berbanding kawasan lain yang agak sesak dan terhalang pemandangannya. Kebetulan musim umrah ketika itu dikatakan agak ramai mungkin kerana musim panas mula menjengah tanah haram ini.



"Rutin indah subuh hari. Berjalan menuju masjid sambil bergilir menolak mak dan abah."

"Pintu masuk ke 'expansion prayer area' yang masih baru melalui King Abdullah Gate. Untuk menolak mak dan abah sampai ke sini kekuatan fizikal dan mental amat diperlukan. Namun andai mampu diulang kembali, sepenuh hati kami ingin berbakti lagi. Terima kasih Allah atas peluang ini."
"Pulang sambil menikmati pemandangan indah pagi hari. Bulan masih ada, burung merpati terbang mencari rezeki yang telah dijamin Allah."

 Pancur Emas

"Keadaan biasa bukan di waktu solat. Menghadap Hijr Ismail dan Pancur Emas, tempat 'favourite' kami berenam beranak. Jika sampai awal, kami akan menolak abah terus ke ruang paling hadapan ini. Kata abah, "Tolak abah ke depan sekali. Abah nak tengok kaabah."
"Ruang solat yang belum dipenuhi. Memandang kaabah itu antara yang memberi pahala. Bila saja melihat pancur emas itu dari kejauhan, aku membayangkan rahmat Allah melimpah ruah sedang turun melaluinya dan menyirami kami di sini..Subahnallah..aku tenang dalam limpahan rahmat kasih sayangMu.."

"Port favourite kami."
"Selain waktu solat yang lima, waktu diisi dengan solat sunat, membaca Al-quran, berzikir atau paling tidak menatap Kaabah yang pekat hitam itu tanpa rasa jemu.."

"Kadangkala kami tak mahu balik ke hotel. Kami makan berhampiran pintu keluar masjid. Berkumpul bersama sambil makan bersama mak dan abah. Nikmat mana yang mampu aku dustakan..Subhanallah"

"Berkongsi rezeki dengan kucing di sini. Yang menjadi kepelikan kami, kucing di sini bila diletak makanan di atas plastik, mereka tidak menggigtnya keluar dari plastik. Sebaliknya ia kekal makan di atas plastik itu dengan santun sekali. Kucing masjidil haram. Kata abah."
"Kadangkala abah tak mahu pulang ke hotel, antara satu waktu ke waktu seterusnya tidurlah dia  beralaskan saf karpet hijau ini."
"Mak juga begitu. Sayu rasa hati melihat keduanya. Keduanya telah tua dan tidak bertenaga lagi seperti anak-anaknya. Namun 'kekuatan' itu aku tau ada di dalam dada mereka. Aku sayu..tapi jauh di sudut hati aku bangga dan gembira dianugerah Allah keduanya. mereka tidak pandai dan tidak bersekolah tinggi tapi mereka punya rasa CINTA kepadaNya.."

Kata orang, realiti dan peribadi kita lebih terserlah ketika kita di sana. Jujur aku melihat abah lebih tenang tapi tak mahu berjauhan dari mak. Mak pula begitu teserlah sikap ambil beratnya kepada abah. Bila kami tegur akan sikapnya yang sangat mengambil berat soal abah, kata mak, "Mak nak mengejar syurga." katanya dalam loghat peraknya..
Subhanallah.. Moga kasih mereka keduanya membawa ke syurga abadi.
"Ya Allah, kasihi mereka sebagaimana mereka mengasihiku sewaktu aku kecil lagi. Terima kasih Allah, atas nikmatMu yang satu ini.."

 Turun ke Kaabah.

 Pertama kali aku menjejak kaki ke tingkat bawah aras Kaabah adalah pada hari ke dua berada di sana. Selepas solat Asar petang itu, aku mengajak adikku yang bongsu untuk turun bila melihat keadaan yang kurang sesak di bawah sana.

Kami turun.
Berjalan terus ke bahagian hadapan Multazam. Kelihatan dari jauh tiada ruang kosong untuk aku dan adik untuk solat sunat. Namun dalam hati aku berdoa agar Allah memberi rezeki kepadaku dan adik. Allah yang memberi rezki. Bisikku yakin..

"Suasana hening kala asar menuju maghrib. Ya Allah aku tenang di sini.."

Sampai di ruang solat wanita, Alhamdulillah, sebagaimana sangkaan hambaNya, tiba-tiba ada ruang kosong yang kurasa amat selesa untuk kami berdua. Terima kasih Allah. Aku dan adik tak membuang masa. Terus cepat2 membentang sejadah..Kedudukan kami betul-betul selari mengadap pintu Kaabah..

Aku tarik nafas dalam...
Peluang pertama sujud di sini..barangkali akan timbul persoalan apakah yang patut aku minta?
Multazam adalah antara tempat yang mustajab doanya..
Mahu jodohkah?
Mahu kayakah?
Mahu bebas hutangkah?
Mahu naik pangkatkah?
Bukan..aku telah ada satu tujuan paling besar mengatasi semuanya..

"Allahuakbar." Ungkapku perlahan mengangkat takbir..

Terasa ke ia mengalir ke seluruh nadi akan jiwa kehambaanku.
Terasa diri ini tiada apa2.kosong..serba tiada..

Kulantunkan doa iftitah..

"Wajjah tu wajhialillazi fathorossamawa tiwalard ... hanifan'muslima" 

"Ku hadapkan wajahku kepada Tuhan yang mencipta langit dan bumi, dengan lurus dan berserah diri.."

Air mata mula bergenang..
Aku mengadapkan wajahku kepadaMu yang menciptakan aku wahai Allah..
Aku sedang mengadapMu..rayuku dalam hati..

"Inna solati wanusuki wamahyaya wamamati lillahirabbil a'lamin.."

"Sesungguhnya solatku, dan ibadahku, dan hidupku, dan matiku adalah untuk Allah, Tuhan sekalian alam."

Lafaz ikrarku kepada Allah ku hayati sepenuh hati..
Tiada daya upaya melainkan dengan izinMu Ya Allah..
Segalanya kurnianMu kepadaku termasuk diriku sendiri ini adalah milikmu Ya Allah..

Aku menyerahkan diri..
seluruhnya..

Aku tidak mampu mensyukuri semua nikmat kurniaanMU Ya Allah..
Aku tak mampu mensyukuri nikmat yang aku masih diberi kehidupan sehingga ke saat ini.

Aku berhutang banyak padaMu Ya Allah..
Apa lagi yang patut aku minta melainkan merayu kepadaMu agar Engkau mengampunkan segala dosa-dosaku..bukan hanya pada sebesar-besar dosaku. Tapi  juga segenap ruang hidupku yang tidak mampu aku syukuri..aku tak mampu mensyukuri semuanya Ya Allah..
Kerana nikmat pemberianMu telah terlalu banyak..Aku tidak tertanggung..
Tiada lain lagi kemampuanku melainkan memohon keampunan darimu...

Air mata mengalir..Tak tertanggung rasa itu..Hati rasa disiat-siat..

Wahai Allah..aku mohon padaMu..ampunkan segala dosa-dosaku..Dosa-dosa laluku, malah dosa-dosa di hari akan datangku..Dosa-dosaku hingga hembus nafas terakhirku..
Ampunkan lah segalanya Ya Allah..
Engkau Maha Pengampun..
Ampunkanlah..ampunkanlah hambaMu ini...

Ya Allah Ya Ghaffar.. YA Ghaffar... Ya Ghaffar..
Ku seru nama itu dalam sujud panjangku..hingga usai solat taubatku..

Belajar tentang Taqwa

Seketika kala solat subuh aku datang awal untuk bertahajjud seperti biasa. Aku duduk di saf paling tepi bersebelahan kakak, mak dan adikku. Sementara menunggu waktu subuh kulihat hamba Allah dari segenap pelusuk dunia mulai memenuhi ruang solat.


"Keadaan tenang waktu sebelum subuh."


Melihat di sebelahku yang masih ada ruang kosong, spontan aku berdoa, moga-moga akan datang ke sebelahku seorang Hamba Allah yang baik hati, kaya jiwa, seorang yang yang hebat, berkelebihan yang boleh ku ambil hikmah atau pengajaran darinya.

Tiba-tiba ketika subuh hampir menjelang tiba, datang kesebelahku seorang wanita tua yang ku kira warga India atau Pakistan. berbaju warna-warni, berseluar dan berselendang. Fizikalnya kurus cengkung, tidak menarik dan agak berbau.

Serta merta hatiku timbul rasa tak selesa. Kenapalah dia ni nak duduk sebelah aku.Bisik aku dalam hati. Namun perasaan itu hadir sebentar cuma. Aku tiba2 teringat kembali bisik doaku tadi, namun dilintaskan dengan ayat Allah dalam Surah Al-Hujurat.

“Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal “ [Al Hujuraat, 49: 13]
"Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)." (Al Hujurat:13)

Make Money Online : http://ow.ly/KNICZ

Serta merta hatiku diruntun rasa bersalah yang amat dalam..
Aku kesal.. Maafkan aku Ya Allah...Sombongnya aku ini..Astaghfirullahal azhim..

Aku solat subuh pagi itu dengan tangisan..

Aku menangis membayangkan ada ribuan hamba Allah di kala ini sedang berkumpul di masjid yang mulia ini. Sama-sama bersolat dan sujud patuh pada Allah yang satu. Tidak kira laki-laki atau perempuan. Tidak kira bangsa dan suku keturunan. Namun kata Allah dalam ayatnya itu,

"Aku Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal..."

Ya Allah. Aku lupa kami semua di sini sama saja di pandanganMu..
Tidak ada bezanya kami semua ini. Yang hanya membezakan kami adalah Taqwa yang ada di dalam hati kami yang hanya Engkau semata-mata yang mampu melihatnya..
 Hamba Allah di sebelahku ini mungkin saja kelihatan comot dan compang camping fizikalnya. Tapi boleh jadi dia ini dikenali dan disayangai segenap makhluk langit dan bumi. Boleh jadi dia lebih mulia kerana Taqwanya di dalam hati jauh melebihi apa yang ada dalam diriku dan yang lainnya..

Hanya Engkau mampu melihat apa isi hati kami ini Ya Allah..

Aku terasa kecil..
Kerdil sekali membayangkan, Ya Allah, bagaimana Engkau mahu melihat Aku ini di kalangan ribuan orang di sini. Apa lah istimewanya aku yang membuatkan Engkau ingin melihatKu di sini..

Aku menangis dalam solat subuhku..

Ditanya oleh kakakku. Kenapa. Kataku, aku teringat ayat Allah yang satu itu...
Kakakku diam..memandang nun jauh ke Kaabah.

Melihat ribuan umat di sini buat kami rasa insaf..

Sesungguhnya kami ini hanyalah HAMBA...


 Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada tubuh, rupa luaran dan harta kamu, tetapi melihat kepada hati dan amalan kamu (Riwayat Muslim)


Sambung lagi jika diberi rezeki..InsyaAllah...




Monday, 11 July 2016

Litaskunu Ilaiha....

Assalammu'alaykum warahmatullahhi wabarakatuh..

Lafaz untuk memulakan suatu catitan yang agak istimewa kali ini.

Berkait khas tentang persoalan cinta dan jodoh. Persoalan popular ramai orang. Persoalan yang dialami oleh aku juga..

Bulan Syawal kian menghampiri seminggu. Suasana raya masih meriah, tapi rutin aku telah kembali seperti biasa. Tak terfikir untuk menulis entri ini sebenarnya. Tapi tiba-tiba hati diturunkan rasa dan keinginan untuk menulis bila tiba2 suami yang jauh di laut biru mengirim gambar nikah..

Tertulis di situ, "AYAT-AYAT CINTA BERCERITA, CINTAKU PADAMU.."

Amboi..
Lagu Rosya Rossa.. ;)

Semua orang pun tahu lagu ni kan?
Suami kata ni lagu favourite dia..Ooo..Jiwang juga rupanya dia..Dalam hati ada taman..hehe..

Tapi itulah juga lagu favourite aku satu ketika dulu. Aku membaca novel Ayat2 Cinta karya Habirurrahman ini pada tahun 2008 bila disebut2 oleh seorang ofismate. Aku hanya baca dari softcopy, Tapi aku masih ingat aku menangis membacanya terutama babak2 akhir novel yang menceritakan kisah Maria yang sedang koma tercari-cari pintu syurga yang manakah yang dibolehkan untuk dia masuk.. 

Dia mencari-cari sehinggalah akhirnya dia bersyahadah..

Subhanallah...

..................................................................................................................

Rosya
~7 Syawal 1437H~


"Nisfu Syaaban 1437H (21 Mei 2016). Moga saat Ijab dan Qabul ini terus kekal segar dalam ingatan."

   
AYAT-AYAT CINTA

  
"Desir pasir di padang tandus, segersang pemikiran hati, terkisah ku dia antara cinta yang rumit.."

Cinta yang rumit..

Aku memahami cinta rumit yang dimaksudkan adalah cinta antara cinta kita kepada manusia dan cinta kepada Allah.. Kasih kita kepada manusia dan kasih kita kepada Allah..

Rumit kerana bagi aku cinta ini adalah perjuangan berterusan yang memerlukan mujahadah sepanjang masa. Seringkali tanpa kita sedar kita sering meletakkan cinta kepada manusia itu di tempat teratas melebihi Cinta Agung kita kepada Allah yang menciptakan kita.


 "Bila keyakinan ku datang, kasih bukan sekadar cinta, pengorbanan Cinta Yang Agung ku pertaruhkan.."

Mencintai ibu-bapa, suami, isteri atau anak-anak menjadi keutamaan sehingga melebihi cinta kepada diri sendiri dan cinta kepada Tuhan..
Cinta Agung kepada Allah hanya di tepian, Cinta Allah jadi pertaruhan..

 “Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia dan di sisi Allah lah tempat kembali yang baik (Syurga).” 
 [Ali ‘Imran, 3 : 14]

Kata Ustaz Pahrol,  kita tidak akan mampu menyayangi orang lain dengan sebenar-benarnya sayang sehingga kita mampu menyayangi diri kita sendiri dengan sebenar-benar sayang. Dan untuk benar-benar menyayangi diri sendiri hanyalah dengan kita menyayangi Allah yang merupakan punca segenap kasih sayang yang ada di dunia ini..

Dialah Ar-Rahman, dialah Ar-Rahim..

Teringat pada satu kata-kata hikmah dari Imam Syafie..


"Barangsiapa mengaku dapat menggabungkan dua cinta dalam hatinya, cinta dunia sekaligus cinta Allah, maka dia telah berdusta."


"Maafkan bila ku tak sempurna, cinta ini tak mungkin ku cegah, Ayat-ayat cinta bercerita cintaku padaMu.."


Cinta tak mampu dicegah bila ia menyinggah masuk ke hati..
Siapalah aku untuk meletakkan Cinta Allah sebagai Cinta paling agung di dalam hati ini..Melainkan setiap waktu aku bermujahadah dan beristighfar..
 
Kata Opick dalam "Rapuh" nya, 

"Meski ku rapuh dalam langkah, kadang tak setia kepadaMu.. Namun cinta dalam jiwa hanyalah padaMu.. Maaafkanlah bila hati, tak sempurna mencintaiMu.Dalam dada kuharap hanya diriMu yang bertakhta.."

Dalam dada aku berharap semoga kasihMu Allah akan selalu bertakhta dalam hati kecil ini.
Walau sering tegelincir, terjatuh, bertatih dan tersilap langkah, jauh di sudut hati ini kasih dan belas dariMu lah yang berterus-terusan aku harapkan..
Aku hanya manusia kebanyakan yang biasa, yang hanya mampu berperang untuk berlawan dengan rasa kasih sayang manusia dan perkara lain yang seringkali berebut-rebut memenuhi ruang hati ini..

Ruang Qalbu yang sepatutnya hanya Dia yang diisi..

"Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang.. " Ar-Rad, [13:28]..


KEKUATAN DOA
 

"Bila bahagia mulia menyentuh..Seakan ku bisa hidup lebih lama"

Sesungguhnya Allahlah yang mencampakkkan rasa kasih dan sayang itu ke dalam hati. Allah lah juga yang mencampakkankan rasa ketenangan,rasa kasih dan sayang (Sakinah, Mawaddah, Warahmah).

Berkongsi kisah surah Ar-Rum ayat 21 ini..

"Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikanNya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda bagi kaum yang berfikir." [Ar-Rum, 30:21]
  

Inilah antara ayat yang kerap aku baca tidak kira bila, setiap kali quran aku selak..berharap dikurniakan seorang jodoh yang baik, jodoh yang baik di pandangan Allah..bukan di pandangan terhijabku ini..

Juga surah doa Nabi Zakaria yang menginginkan zuriat, Al-Anbiya Ayat 89..

"Ya Tuhanku janganlah Engkau biarkan aku hidup seorang diri  Dan Engkaulah Waris yang paling baik."

Aku juga antara insan yang terkesan dengan doa Nabi Musa yang berdoa dengan penuh mengharap belas ihsan dari Allah. Berserah dan bergantung harap kepada Allah semata..
Al-Qasas ayat 24..

"...Wahai TuhanKu, Sesungguhnya aku ini kepada apa sahaja kebaikan yang Engkau turunkan amatlah fakir."

Apa sahaja Ya Allah..
Apa saja kebaikan kecil dariMu itulah yang aku harapkan..Kerana tanpaMu aku ini fakir. Tiada apa-apa. Tiada daya upaya langsung tanpa kudrat dan belas ihsan dariMu.. 

Juga doa supaya diberikan rasa tenang dan tenteram yang diajarkan oleh Ustazah Norhafizah Musa dalam sebuah majlis ilmu yang aku hadiri, Ali Imran ayat 18..

"Allah menyatakan bahawasanya tidak ada Tuhan yang disembah melainkan Dia (yang berhak disembah yang menegakkan keadilan. Para malaikat dan orang-orang berilmu juga menyatakan yang demikian itu). Tiada Tuhan melainkan Dia (Yang berhak disembah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana)."

Aku juga seperti yang lain, pernah diuji, pernah kecewa, penat dan rasa nak berputus asa..

Jujur aku hanya insan biasa.. 
Tapi jauh di dudut hati yang paling dalam, aku sering dibisik hati kecilku. Mengingati ayat cinta Allah dalam surah Az-zumar ayat 54 supaya tidak berputus asa dengan rahmatNya. Al-Mukmin ayat 60, bahawa Allah pasti akan memakbulkan permintaan hambanya. At-Talaq ayat 3 supaya bertawakkal dan Allah akan memberi rezki tanpa disangka, serta segala sekian banyaknya ayat-ayat cinta Allah yang lain lagi..

Bukalah, nescaya akan ada saja ayat itu yang menyentuh hati sendiri.. 


"Namun harus ku tinggalkan cinta ketika ku bersujud.."

Semuanya membuat aku rasa beruntung punya Allah di dalam hati. Memberi aku kekuatan untuk bangun sujud di malam hari, menangis untuk dikasihi, dan berdoa di dalam sujud setiap kali dengan rasa takut dan harap..
Teringat Allah berjanji doa di kala itu akan dikabulkan, permohonan ampun akan diberikan..

"Mintalah kepadaKu dengan jalan sabar dan mengerjakan solat." [Al-Baqarah, 2: 45]

Mudah kan..Sabar..dan Solat..aku memujuk hati..


"...Berdoalah kepadaKu, nescaya Aku akan perkenankan..  "[Al-Ghaffir : 60]

Pernah juga satu ketika dulu aku hampir berputus asa..Rasa sedih..Rasa kecewa..
Aku buka quran usai solat..

Lantas aku terbaca ayat cinta Allah yang satu ini..

"Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan,  "Tuhan kami adalah Allah" 
Kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka, maka malaikat akan turun kepada mereka dengan mengatakan: 

"Janganlah kamu takut dan janganlah kamu merasa sedihdan bergembiralah kamu dengan (memperoleh) syurga yang telah dijanjikan Allah kepadaMu."

"Kamilah pelindung-pelindungmu dalam kehidupan dunia dan akhirat ; di dalamnya kamu memperoleh apa yang kamu inginkan dan memperoleh (pula)di dalamnya apa yang kamu minta."

"Sebagai hidangan (bagimu) dari Tuhan Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.."

~Fussilat [41:30-32]

Aku menangis..
Menangis semahunya..
Apa yang kamu takut? kenapa kamu bersedih hati? Tiada di sini..Akhirat sana pasti ada dihidangkan ganjaran..Kamu akan dijemput dengan istimewa oleh para malaikat..

Subhanallah..
Aku menangis..Namun dalam hati  terasa lapang dan tenang...

Aku genggam janji Allah ini..
Aku tinggalkan dunia dan bangun sujud meminta sepenuh hati..

JABBAL NUR



"Bukit kasih sayang, Jabbal Nur 03/03/2016"
Ramai juga di kalangan sahabat yang bertanya, nanti balik umrah jumpa jodoh la yer..

Aku geli hati..Tapi aku mengaminkan juga dalam hati.
Terlalu sukar untuk aku mengiakan.. 
Aku terfikir, sesungguhnya Allah itu Maha berkuasa, Maha Mengabulkan. Allah tidak memerlukan sebab jika Dia mahu memakbulkan permintaan hambaNya..tapi kita diberi syarat..

Aku tidak ada amalan dan doa yang spesifik ketika berada di bukit pertemuan Adam dan Hawa ini. Dia atas sana aku memohon supaya dikurniakan jodoh yang baik, sekali lagi, yang baik di pandangan Allah dan menjadi asbab untuk aku dipermudahkan jalan untuk ke syurgaNya nanti.

Namun bermula dari dalam bas, turun dan sepanjang menaiki dan turun semula dari bukit, aku hanya menyerahkan diri ini kepada Allah..
Aku hanya membaca doa untuk kebahagiaan rumahtangga dari surah Al-Furqaan ayat 74 ini..

"Rabbana hablana min azwajina wazurriyyatina qurrat a'yunin waja'lna lil muttaqina imama."
"Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyejuk hati dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang-orang yang bertaqwa. " 

Itulah doa yang tidak putus-putus ku baca sehingga aku kembali semula menaiki bas..


"Mendongak melihat langit biru Jabbal Nur yang licin seindah lukisan ini, terdetik di hatiku mungkinkah detik kala aku lontarkan doa ini, langit sedang terbuka dan Allah menerima segala doa2ku.."


JODOH  RAHSIA ALLAH

"Kamu percaya pada jodoh?"

"Ya, setiap orang memiliki.."

"Aku rasa Sungai Nil dan Mesir itu jodoh. Senang ya, kalau kita bisa bertemu dengan jodoh yang diberikan Tuhan dari langit.

"Bukan dari langit Maria, tapi dari hati...Dekat sekali."

~Maria-Fahri (Ayat-ayat Cinta)



"20 hari pulang dari umrah. Jika Allah ingin memberi, tiada tangan yang dapat menahan.."


Seringkali aku menulis tentang jodoh..
Dalam hati punya keyakinan tinggi akan ketetapan Tuhan yang satu ini. Ia ada. Ia telah Allah tetapkan.. Setiap kali aku mengingatkan diri. Cuma aku tidak tahu bila..dengan siapa dan bagaimana..

Menanam keyakinan yang ia akan tiba itulah yang sering sukar dibina di dalam hati. Persoalan bagi setiap orang yang bertanya dan masih menunggu-nunggu. Aku juga begitu suatu ketika dulu..

Namun adakala aku tersentap. Bukankah ini persoalan iman? Allah ingin munguji aku..Iman aku pada perkara ghaib..keyakinan aku pada ketetapan Dia..sejauhmana aku yakin pada janji-janjiNya bahawa setiap makhluk itu diciptakan berpasang-pasangan? Sejauhmana aku yakin  kata-kata Allah bahawa wanita yang baik untuk laki-laki yang baik dan sebaliknya? Sejauhmana aku tidak putus asa untuk meminta kepadanya dan bersangka baik denganNYa...

Andai aku memperbetulkan diri, menjaga hubungan baik denganNya, berusaha mendekatkan diri padaNya, merayu-rayu meminta untuk menjadi golongan hamba yang dikasihiNya..
Adakah Allah sampai hati meninggalkan aku dengan doa-doaku begitu sahaja? Bukankah Allah Maha Pengasih dan Maha Penyayang?

Lantas aku menanam keyakinan di hati yang paling dalam..
Andai aku berusaha menjadi baik...pasti dia di sana juga ketika ini sedang berusaha ke arah yang sama..
Menjadi hamba Allah yang baik.. 

Rezeki Allah, 20 hari selepas umrah..
Akhirnya aku dirisik dan ditunangkan sekaligus dalam majlis yang cukup sederhana..

"Kita merancang, Allah merancang, namun perancangan Allah jualah yang terbaik."

Subhanallah..
Siapa menduga hati masing-masing dibukakan Allah dengan seluas-luasnya.
Sebagaimana aku melontar doa ke langit luas di ketika terbukanya bumbung Masjid Nabawi, sebagaimana kulihat langit biru di Jabbal Nur, dan sedamai hati ketika ku mendongak langit tenang di Masjidil Haram..
Setenang itulah terbukanya hati-hati kami bersetuju untuk bersama-sama mendirikan kehidupan baru demi mengikut Sunnah Rasulullah dan menyempurnakan separuh agama ini.
Rezeki lebih besar Allah turunkan sekali lagi apabila tempoh pertunangan yang diputuskan untuk diikat selama setahun tiba-tiba dipercepatkan.

Tidak sampai dua bulan pertunangan diikat, kami diijabqabulkan..

Subhanallah...  


"Bermusyawarahlah dengan manusia, dan beristikhalahlah dengan Allah. Nisfu Syaaban tarikh dipilih sebagai membuka lembaran baru."

IJAB DAN QABUL


"Dan segala sesuatu kami ciptakan berpasang-pasangan supaya kamu mengingati kebesaran Allah."  [Ad-Dzaariyat,51 : 49]
 Bergetar hati saat itu..
 Gembira, berdebar..syahdu.. 

"Rosya, basah niqab..habis mekap cair masa nikah. Apa yang sedih sangat?" kata mereka ceria..

Aku hanya diam.

" Tok kadi tu bagi nasihat..pasal hikmah perkahwinan, sebab berkahwin bla..bla...pasal tu sedih.." Kataku..


Jika seseorang hamba Allah itu bernikah, maka ia telah menyempurnakan separuh agamanya. Oleh itu bertakwalah kepada Allah pada separuh yang lainnya.” (HR. Al Baihaqi)

Namun sesungguhnya andai mereka mengetahui yang sebenarnya aku diruntun rasa sedih bila mengingat pada malam itu Allah sedang melihat aku..Allah sedang melihat semua orang.. Allah sedang mengampunkan segala dosa-dosaku. 
Ya..Segala dosa2ku..Segalanya kata Allah dalam hadis disabda kekasihNya..



“Allah melihat kepada hamba-hambaNya pada malam nisfu Syaaban, maka Dia ampuni semua hamba-hambaNya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang benci membenci)."   (Riwayat Ibn Hibban)

Syukur Ya Allah..Engkau Maha Baik. Terasa mengalir ke segenap urat darah dan nadi akan limpah kasihMu kepada hambaMu yang kerdil ini..

"Tangis syukur..Tangis terima kasih kepada mereka. Beralihlah sudah beban emak dan abah yang dipikul selama ini. Terima kasih Mak, terima kasih abah. Jasa mak dan abah hanya Allah jualah yang dapat membalasnya..Terima kasih Allah atas segala kemurahan kasihMu kepada hambaMu ini."

Begitu terasa rahmatNya menyelubungi segenap ruang hati aku malam itu. Dalam menempuh pelbagai ujian, kepahitan dan kemanisan selama ini, maka kemuncaknya hari itu aku dipilih Allah untuk memulakan sebuah kehidupan baru bergelar isteri..
Terasa begitu manis gelaran itu..

Moga-moga dengan detik malam nisfu itu dan detik lafaz ijab dan qabul itu, sebahagian dari agamaku telah selesai. Moga Taqwa akan menjadi tujuan sebagai bekalan untuk kuraih dalam perjalanan baru ini..

Amin Ya Allah...

"Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikanNya diantaraMu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdpat tanda bagi kaum yang berfikir."  [Ar-Rum 30:21]




------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------



Akhir kata untuk semua,

Mohon hadiahkan kami secebis doa. Doakan kami kebahagiaan dunia dan akhirat. Doakan kami dilimpahkan rahmat Allah sehingga ke syurga sana. Semikian juga doa aku untuk kalian semuanya..

Moga cinta kita kepada sesiapa dan apa jua di dunia ini tidak pernah mengatasi Cinta Satu yang Agung ini..Semoga Allah selalu membantu kita semua dalam perjuangan ini..Semoga berterusan kita bergantung pada tali yang paling kukuh, Tali Allah..

Moga kita berkasih sayang kerananya, menjadi antara 7 golongan yang dinaungi Allah di akhirat sana kelak..

Moga Allah sayang kepada kita dan menghdiahkan kita keredhaanNya di penghujung nafas kita nanti.


Amin Ya Allah..

Amin Ya Rabbal a'lamin...