Monday, 26 September 2016

UMRAH - PERJALANAN ROHANI INSAN KERDIL 9 (AKHIR)


"Katakanlah : Berjalanlah di muka bumi, maka perhatikanlah bagaimana (Allah) memulai penciptaan (makhluk), kemudian Allah menjadikan kejadian yang akhir, sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu".  [Al-'Ankabut ,29 : 20]"

UMRAH- PERJALANAN ROHANI INSAN KERDIL  (SIRI AKHIR)

Assalammualaykum warahmatullah...

Syukur Alhamdulillah diberi kesempatan lagi untuk menulis pengalaman lalu, pengalaman pertama mengerjakan umrah.
Tanda disedari kenangan itu telah enam bulan berlalu..

Penulisan ini adalah siri akhir perkongsian kisah umrah ini..
Terasa sayang nak tamatkan. Kerana setiap kali menulis, aku akan merindui kenangan aku di sana..

Sungguh air mata tetap bergenang tiapkali mengenangnya..

Tiapkali aku menulis tentang Makkah, aku selalu mengiringi penulisanku dengan lagu yang sungguh dekat dihatiku..Tiap kali lagu ini didengarkan, kenanganku ketika membuat persiapan ke sana akan kembali diimbau..

Bait-bait liriknya membuatkan airmata aku jatuh mengharap supaya aku menjadi INSAN TERPILIH sebagai TETAMU ketika itu..

Takut dan harap...
TAKUT seandainya di saat-saat akhir itu aku tidak diterima sebagai tetamu, dan HARAP, agar aku diterima sebagai tetamu yang benar-benar dijemput dengan penuh keredhaan..

Terasa, benar ma'na "Menuju Allah" itu, walau tubuh jasadku belum dibawa ke sana..

 


HANYA NAMAMU
Hanya namaMu ku puji ku sanjung
Di lafaz pertama suara azan fajar
Langkah kananku seperti dilindung
Andainya tersandung rebahku bersujud
Dan hanya namaMu ku puji ku sanjung

Adakalanya linang air mata
Tertumpah ke pipi menerima takdir
Namun imanku tidak akan runtuh
Ku ambil ikhtiar berdiri semula
Dan hanya namaMu ku puji ku sanjung

Di akhir perjalanan ini
Yang mencari petunjukMu
Ku doa agar kehadiran disambut

Semoga namaku terdiri
Di antara yang terpilih
Menjadi tetamu di tamanMu nanti

Setiap masa tak pernah ku lupa
Sinar yang Kau beri dalam hidup ini
Bila tibanya nyawaku di dunia

Kau panggil kembali dengan nafas akhir
Hanyalah namaMu ku puji ku sanjung

Di akhir perjalanan ini
Yang mencari petunjukMu
Ku doa agar kehadiran disambut

Semoga namaku terdiri
Di antara yang terpilih
Menjadi tetamu di tamanMu nanti

 
Terbayang saat ketika aku di bilik sendirian di malam hari menulis doa..
Terbayang juga ketika aku menangis sendirian di dalam penerbangan bila kuselak doa ketika Tawaf Wada'..
Sungguh aku menangis, biar aku belum menjejak kaki ke Tanah ini, hati aku terlebih dahulu menangis kerana sayang untuk meninggalkan tanah yang diimpikan untuk aku jejak sekian lama ini...


"Kenangan pertama yang akan terus kekal tersemat hingga ke akhir hayat..Allah aku datang kepadaMu.."
Telah ku tulis sekian banyaknya perkongsian sebelum ini, banyak pengalaman ku abadikan di blog ini, bukan tujuan utamanya untuk berkongsi rezeki sahaja, lebih lagi adalah untuk menyimpan kenangan ini untuk diriku sendiri..

Moga ia sentiasa mekar dalam hati dan kotak ingatanku ini..
Biar ia kekal segar untuk aku kembali lagi ke sini..

Moga tiap titipan yang dibaca ini akan memberi sedikit sebanyak ilmu yang bermanfaat untuk yang membaca. Moga menjadi pertambahan timbangan amalku di sana kelak..

Amin...


HARI TERAKHIR DI MAKKAH AL-MUKARRRAMAH

07/03/2016 bersamaan 27 Jamadilawal 1437H tibalah juga hari tu.
Hari terakhir untuk kami meninggalkan Kota Suci Makkah.


"Subuh terakhir kami di sini..mendengar azan terakhir di sini..moga ia bukan yang terakhir Ya Allah.."
"Di sana aku merenung bulan yang mula memunculkan diri. Bulan yang sama ku pandang di tanah air, namun pasti tidak akan sama pandanganku padanya di tanah peruh barakah ini."

"Subuh pagi itu yang sungguh mendamaikan..Menggamit kerinduan yang bakal menghuni hati-hati kami.."


"Foto2 terakhir yang sempat ku rakam subuh terakhir itu. Kerana selepas tawaf wida' tidak dibenarkan lagi mengambil gambar setelah berniat meninggalkan Tanah Haram ini."

TAWAF SELAMAT TINGGAL..

Sekitar jam 9.00 pagi waktu tempatan kami memulakan langkah menuju ke Masjidil Haram dengan seribu satu perasaan.

Sedih, sayu, rindu..
Rasa tidak mahu meninggalkan tempat indah ini..
Kami berjalan seperti biasa.. Mak abah ditolak. Tapi tiada banyak yang kami perkatakan.
Masing-masing dengan suara hati masing-masing.

Menghayun langkah tawaf di tingkat dua, aku menolak mak..
Sambil berzikir aku memandang ke kiriku, melihat Kaabah yang sebentar nanti aku akan tinggalkan..

Mengingatkan sebentar nanti kami akan pulang, membuat air mata mula bergenang..
Ya Allah sayunya aku memandang rumahmu ini buat kali terakhir.
Dapatkah lagi detik ini berulang lagi. Berumrah, bertawaf begini bersama kedua orang tua..Sambil menyerahkan segala keupayaan diri buat Dia yang memiliki segala-galanya tentang diri ini..
Aku tinggalkan dunia buat beberapa ketika yang kurasakan sungguh mendamaikan.

Selama di sini aku juga memutuskan hubungan dengan dunia maya. Hanya sekali sekala ku kirim berita buat keluarga di tanah air.
Segala kesibukan dunia aku tinggalkan. Segala persoalan yang menyesakkan hati aku lupakan. Kenangan memeritkan aku padamkan.Segala kemaafan telah aku lepaskan..
Inilah yang aku tafsirkan sebagai kebebasan. Kebebasan dari segala yang membelenggu hati untuk kembali kepada fitrah diri..selama mana aku berjuang di tanah air, tentunya tidak akan sama sebagaimana aku di sini..
Terlalu mudah untuk aku dekat denganMu Ya Allah..
Bilamana yang tinggal cuma aku dan Dia di sini..
Merayu dan berkasih dengan Ar-Rahman tanpa adanya sempadan..

Terasa benar kataMu,

Engkau lebih dekat dari urat nadiku sendiri...

Subhanallah...

Apa lagi yang mahu ku mohon ketika ini..

Allah maafkan segala kesalahanku..

“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku maka (jawablah) bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila berdoa kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka itu beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.”[Al Baqarah, 2: 186]"


DOA TAWAF YANG MENYENTUH HATI

Selesai pusingan ke tujuh, kami terus ke tepi mataf. Solat sunat..
Kemudian kami duduk melutut di sisi mak dan abah. Mengangkat tangan dan masing-masing memandang tepat ke arah Kaabah...
Kaabah yang akan kami tinggalkan sebentar nanti..

Ku angkat tangan dan menyelak Doa Tawaf Wada' dengan penuh rasa debar dan sayu..
Aku benar-benar ingin mengabdikan saat ini dari sebelum aku menjejak kaki ke Tanah Haram ini lagi..

"Bismillahirrahmanirrahim..."

Dengan nama Allah...bisikku dengan penuh penghayatan ma'nanya di dalam hati..

Tiap bait doa ku baca dengan penuh pengharapan dan mengharap belas ihsan Allah s.w.t.. Kala itu kurasakan diri ini benar2 kerdil.
Aku terlalu hamba..benar-benar tiada apa2 melainkan mengharap simpati dan belas dari Allah S.w.t Yang Maha Besar...

"Ya Tuhanku..
Janganlah Engkau jadikan ziarah hamba di tempat yang mulia ini sebagai ziarah yang penghabisan.."

"Kurniakanlah kepada hamba peluang untuk menziarahi kembali ke tempat ini dalam keadaaan sihat dan baik.."

Nadaku mula bertukar seakan merayu..

"Jika panjang umur hamba insyaAllah, hamba akan datang lagi.." 

Aku mula menangis sedih. Perkataan 'hamba' yang kuungkap menyusup ke dalam hati.
'Abd' itu...Hambanya Ya Allah Kami ini...

"Jika sampai ajal hamba maka hamba akan meletakkan Syahadat dan perjanjian hamba dari hari ini sehingga ke hari kiamat...."
"Iaitu hamba bersaksi tiada Tuhan yang disembah dengan sebenar-benarnya melainkan Allah, Tuhan yang satu yang tidak ada sekutu baginya..." 
"Hamba naik saksi bahawa Nabi Muhammad hambaNya dan pesuruhNya.." 

Aku tertunduk sedih..mula kedengaran esak tangis  dari mak, adik dan kakakku..
Abah juga diam membiarkan air mata jatuh..

Apakah yang ada dalam hati mereka aku tidak tahu..
Yang nyata kami seolah sedang menangisi sebuah perpisahan yang sukar aku ungkapkan..

" Maha suci Tuhan yang mempunyai kebesaran dan kemuliaan, Tuhan seru sekalian alam.."

Aku menyeka air mata, menarik nafas, menyambung doa. Tidak kupeduli manusia di sekeliling yang mula memberi perhatian kepada kami lima beranak..


"Ya Allah, ini rumahmu..
dan aku ini hambaMu..anak hambaMu..anak umatMu.."

"Engkau menanggungku dengan penuh kemudahan dari seluruh makhlukMu."

"Engkau mendindingi kemerbahayaan selama di negeriMu hingga aku mengecapi nikmat beribadat di samping rumahMu.."

"Engkau menolongku menunaikan ibadatku..
Jika Engkau redha kepadaku, tambahlah keredhaanMu kepadaku.."

Aku menyeka air mata..
begitu juga abah, mak kakak dan adikku..

"Kalau tidak aku bermohon Engkau restui sebelum aku meninggalkan rumahMu, dan sekarang masanya aku berangkat , bukan kerana benci berada di sini atau membelakangiMu atau rumahMu."

"Ya Allah temanilah perjalanan kami dengan kesihatan dan jauhi keresahan terhadap badan kami dan agama. Engkau pastikanlah kebaikan perkembalian kami ini. Kurniakanlah ketaatan kami kepadaMu. Himpunkan kebaikan dunia dan akhirat."

"Engkau Maha Berkuasa.."

Amin Ya Allah...
Amin Ya Rabbal A'lamin..

Aku mengaminkan doa..Kami menangis berpelukan..

Ya Allah terimalah..
Terimalah ibadat kami ini..
Terimalah Umrah kami selama kami di sini Ya Allah..
Hadiahkan kami keampunanMu..
Hadiahkan kami kami ketaatan kepadaMu..


Selesailah tawaf wida', bermakna lengkaplah perjalanan Umrah ini..

"Aku menurut sangkaan hambaKu kepadaKu, dan Aku bersamanya apabila ia ingat kepadaKu. Jika ia ingat kepadaKu dalam dirinya maka Aku mengingatnya dalam diriKu. Jika ia ingat kepadaKu dalam kelompok orang-orang yang lebih baik dari kelompok mereka. Jika ia mendekat kepadaKu sejengkal maka Aku mendekat kepadanya sehasta. jika ia mendekat kepadaKu sehasta maka Aku mendekat kepadanya sedepa. Jika ia datang kepadaKu dengan berjalan maka Aku datang kepadanya dengan berlari-lari kecil". [Hadits ditakhrij oleh Bukhari]


Terima kasih Ya Allah
Tak terungkap syukurku atas rezekiMu ini..
Akan ku abadikan segalanya di dalam hati sanubari ini..
Andai Engkau takdirkan kami tidak ke sini lagi, jadikanlah penyaksian ini sebagai penyaksian kami di akhir hayat kami kelak..

Ambil kami di saat kemuncak kerinduan kami kepadaMu seperti kemuncak kerinduan kami kepadaMu ketika ini..

Sesungguhnya kasih dan pengampuanMu tiada tara..

Terima kasih Ya Allah..

Rosya
24 Zulhijjah 2016

 -TAMAT-

MIKRAJ CINTA


















No comments:

Post a Comment